Seram! Pemancing Terserempak Dengan
Bunian Di Sungai | Kalau sudah namanya suka memancing, tunggu berjam-jam
di tebing sungai menjadi satu kebiasaan. Hobi mengatasi segalanya.
Biarpun hobi itu menjadi kegemaran ramai orang, ia tidak terlepas dari
mengalami peristiwa-peristiwa seram ketika memancing. Kisah di bawah ini
ada menceritakan tentang pengalaman diganggu makhluk halus, terserempak
dengan bunian dan lain-lain lagi
Kegilaan kaki pancing terhadap hobi itu
sudah lama diketahui. Mereka sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk
membeli peralatan memancing sahaja.Ada pula yang mengambil cuti selama
berminggu-minggu semata-mata untuk mencari lubuk ikan.Namun, di sebalik
semua itu, cerita-cerita misteri sering melingkari kaki-kaki pancing
tegar ini. Jurnal berkesempatan berbual-bual dengan beberapa kaki
pancing mengenai kisah pelik yang pernah mereka alami.Salah seorang
daripada mereka ialah kartunis terkenal Ibrahim Anon, atau Ujang, 45.
Penggemar ikan kelah dan sebarau ini
berkata dia pernah terserempak dengan harimau, gajah dan hampir dipatuk
ular semasa memancing di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
“Saya akan memancing di sana setiap tahun. Ngauman harimau sudah biasa didengar.
“Jadi untuk mengelakkan daripada
bertembung dengan haiwan pemakan daging itu, kami kumpulan pemancing
bergerak perlahan-lahan ke tempat lain.
Harimau
“Pantang harimau ialah jangan diganggu,” kata Ujang yang kini mengusahakan perniagaan berbentuk penganjuran aktiviti memancing.
Ceritanya lagi, tindakan yang sama juga dilakukan jika ternampak kelibat gajah.
Menyentuh mengenai kejadian aneh, Ujang
memberitahu dia tidak pernah mendengar suara misteri apatah lagi
terserempak dengan bunian.
UJANG hanya pernah terserempak kelibat gajah liar dan mendengar ngauman harimau.
“Mungkin itu perasaan kita sahaja.
Paling penting niat kita adalah untuk memancing, bukan ada tujuan lain,”
tegasnya yang hampir lemas dalam satu kejadian bot terbalik di Sungai
Tembeling, Pahang tetapi mujurlah dia pandai berenang.
Seorang lagi kaki pancing, Ku Ahmad
Adzam Ku Saud, 33, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, pernah berasa
seperti ada orang menepuk bahu kanannya semasa memancing di Taman
Negara, Kuala Tahan, Pahang.
“Namun, apabila menoleh, tiada siapa di belakang saya.
“Pada mulanya saya fikir itu hanyalah
khayalan tetapi perkara itu berlaku berulang kali menyebabkan saya
percaya ia perbuatan makhluk halus,” kata penggemar ikan sebarau dan
toman ini.
Bicaranya lagi, kejadian itu menyebabkan dia ketakutan dan kembali ke khemah semula.
Ku Ahmad demam selama beberapa hari selepas peristiwa itu.
“Saya juga pernah melihat gadis bunian
sedang mandi. Dia kelihatan seperti wanita biasa tetapi kulitnya lebih
putih dan berwajah cantik.
“Saya cuma nampak muka dan tapak tangannya. Tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan saya terpikat,” katanya tersenyum.
Bagi Mohd. Suhaimi Abdul Karim, 29, yang
berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dia hampir lemas selepas bot
yang dinaiki bersama rakan karam semasa memancing di Pulau Sembilan,
Perak.
Kejadian itu berlaku lima tahun lepas.
“Bayangkan pada masa itu saya dan tujuh orang rakan lain tidak memakai jaket keselamatan.
“Kami hanya berpaut pada badan bot tersebut dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi sebelum diselamatkan.
“Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi pergi memancing di laut,” katanya yang memberitahu bot tersebut bocor sebelum tenggelam.
Langsuir
Suhaimi juga mendakwa ternampak hantu langsuir semasa memancing di Taman Negara, Kuala Tahan.
“Ketika itu saya dan rakan-rakan berkhemah di hutan. Kami tidak nyenyak tidur kerana mendengar bunyi bising yang berulang kali.
“Namun, akhirnya mereka tertidur juga kerana terlalu penat kecuali saya.
“Saya sebaliknya keluar dari khemah untuk mencari arah bunyi tersebut.
“Sebaik sahaja dijumpai, saya terkejut
kerana rupa-rupanya ada hantu langsuir sedang mengilai di atas sebatang
pokok,” ceritanya.
Katanya lagi, hantu itu memakai pakaian putih, berambut panjang, matanya merah manakala giginya tajam.
“Akibat kejadian itu, saya demam panas selama beberapa hari,” ujarnya.
Mohd. Hanipah Wahi, 47, dari Sepang,
Selangor pula menceritakan pengalamannya memancing di sebuah jeti lama
di Bagan Datoh, Perak pada awal tahun 1990-an.
“Saya ke sana kerana rakan mengatakan kawasan itu terdapat banyak ikan. Jadi saya pergi seorang diri dengan menyewa sebuah bot.
“Hasil tangkapan cukup banyak tetapi
apabila bercakap dengan orang kampung, mereka kata mereka tidak berani
memancing atau menangkap ikan di situ kerana sering terserempak dengan
hantu sungai,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar